Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah limpahi
hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah memberi jalan buat
setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai bentuk yang boleh
menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat. Di antaranya:
1. Menyempatkan diri beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya,
seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah
untuk menyembah-Ku maka Aku akan
membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu.
Jika tidak
melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku
tidak menutup kefakiranmu.
(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim
dari Abu Hurairah r.a.)
2. Memperbanyak istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa
seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan
pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda
Nabi s.a.w.:
“Barang siapa memperbanyak
istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan
segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin
Abbas r.a.)
3. Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat
dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi
s.a.w.:
“Dan seorang lelaki akan
diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa ingat Allah
Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan
terasa lapang.Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman.
Firman-Nya:
“(Iaitu) orang-orang beriman dan
hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan
mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)
5. Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w.
berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah
berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w.
juga bersabda:
“Siapa berbakti kepada ibu
bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.”
(Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani,al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya
rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan
berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah )
daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini
termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan
fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi
s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana
orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah
lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat
saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)
7. Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat
atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan,
kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya
semua hajat. Wallahu a’lam.
8. Buat kebajikan banyak-banyak
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu
memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh
makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa,
menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain
mengutuknya.”
9. Berpagi-pagi
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan
aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang
berkat.
10. Menjalin silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan
rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi
sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
11. Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan
meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh
Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan
bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan
daripada Sayidina Khalid al-Walid)
12. Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab
Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa
kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla
kepada setiap hamba
sekadar nafkahnya. Maka siapa
yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan
baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.”
(Riwayat ad- Daruquthni dari Anas r.a.)
13. Melazimi solat malam (tahajud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud
memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan
dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah
14. Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang
sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.
Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan
sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang
(solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”
(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
15. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat
dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu
bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika
kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7). Firman-Nya lagi: “…
dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran:
145)
16. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna
selain menenangkan, menjernihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat
khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama,
diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat
128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat,
dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi
sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah
ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk
mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya `Alim.” Ada
juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia
tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
17. Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah
, penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam
al-Quran, Allah suruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia akan perkenankan.
18. Berikhtiar sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah.
Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang
dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada
orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim).
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa
kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya
Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi,
hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat
jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya
yang haram, dan sebagainya.
19. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa
kaya dengan Allah. Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah
, nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).” (At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal
kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti
burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”
(Riwayat Ahmad, at- Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin
al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan
yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari
segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak
terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) Pendek kata, bagi orang Islam, untuk
murah rezeki dalam ertikata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan
takwa. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah , lalu Allah
limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
SUMBER: Oh! Islam
No comments:
Post a Comment